Sisipan malam - Kembali bersinar

Alhamdulillah, kelihatan ombak tsunami yang menghempas Pas sejak isu UG melanda telahpun reda sedikit demi sedikit. Atas semangat jama'ah Islamiyah, Tok Guru Nik Aziz telah pun bersemuka dengan Ustaz Nasharudin petang tadi. Seperti yang diduga dan dijangka, sebenarnya idea UG ini sengaja dimainkan dan diputar belitkan oleh media massa Malaysia ex. Berita Hairan, Utusan Merayu dan juga No Such Thing(NST).

Senang hati melihat mereka kembali duduk semeja

Diharapkan selepas ini, isu ini tidak akan ditimbulkan lagi oleh mana mana pihak di dalam Parti Pas. Isu ini seperti kata Tok Guru Hadi Awang, UG ini telah pun berkubur apabila Najib bini Rosmah mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6. Ia sudah menjadi perbincangan akademik sahaja. Tidak perlu lagi memberi keterangan contohnya tentang syarat-syarat untuk PR menyertai kerajaan perpaduan, kerana ianya hanya akan menimbulkan polemik yang tak berkesudahan.

Banyak pengajaran boleh diambil dari isu UG ini. Antaranya, pemimpin Pas perlulah berhati-hati membuat kenyataan kepada media. Akhbar mainstream hanya menunggu masa Pemimpin Pas terlepas kata dalam kenyataan mereka. Semua ini, tak lain tak bukan adalah untuk memecah belahkan parti Pas yang sedang meningkat naik sekarang. Seperti yang kita semua maklum, media mainstream Malaysia adalah ibarat jin-jin yang mendengar berita dari langit; satu kebenaran akan ditambah dengan sembilan pembohongan. Berita yang betul hanyalah empat nombor ekor dan keputusan bola sepak.

Akhbar Rasmi Pas terbaru - Utusan Merayu

Keadaan ini dapat dilihat dari sewaktu di ambang muktamar dan juga hingga hal UG ini timbul kembali. Pemimpin-pemimpin Pas berebut-rebut mendapat publisiti di dalam akhbar harian negara. Utusan sudah menjadi lidah rasmi pemimpin Pas. Pemimpin Pas mengeksploit akhbar bukan milik parti untuk melepaskan bom jangka kepada pemimpin yang lain. Hampir setiap hari ada sahaja pemimpin Pas memberikan ulasan mereka sendiri. Peluang ini diambil oleh akhbar-akhbar kerana tiada modal lain yang boleh diguna lagi. Hanya inilah yang tinggal sebagai 'Senjata sakti' mereka.

Tidak perlulah menyebut nama mereka. Cuma dikesalkan, apakah tujuan mereka menari mengikut bunyi gendang akhbar parti pemerintah ini? Apakah mereka punya target, tujuan atau memang di'set'kan oleh pihak-pihak yang duduk di dalam gelap?

Pemimpin Pas perlu tunjukkan contoh, role model yang baik kepada ahli-ahli Pas bawahan supaya mereka ini tahu untuk mencontohi perkara yang sepatutnya dibuat oleh ahli jama'ah Islamiyah. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Apabila membuat sesuatu kenyataan atau arahan rasmi, patuhlah kepada arahan yang keluar daripada mulut sendiri. Perkara yang terjadi baru baru ini kepada SU betul-betul menimbulkan persoalan. Kelakar, lucu dan hairan dengan tindak tanduk SU Pas yang menyuruh tutup mulut tapi dia sendiri yang gatal mulut buka cerita balik.(tak gamak nak sebut nama, korang tau tau sendiri kan?)

Apa pun, segalanya sudah terjawab petang tadi. Marilah berdoa Parti Pas akan terus bertahan malah lebih kukuh lagi di bumi Malaysia ini. Lupakan segala perkara yang menyesakkan kepala kita semua. Janganlah mencari jalan singkat untuk mendapatkan kuasa pemerintahan, kerana anda yang terlibat akan terdedah kepada sumpah seranah ahli bawahan yang berhempas pulas memenangkan anda. Dengarlah luahan ahli bawahan. Jangan sekali-kali khianati mereka yang meletakkan seribu harapan kepada anda, wahai Pemimpin-Pemimpin Pas.

Andalah permata hati kami, wahai dua tok guruku

*Jadi nampaknya kes sudah selesai luar mahkamah. Tak jadilah hamba nak sambung kritik. Lebih baik. Kita fokus Manek Urai pulak. Biar terburai manik-manik Umno!

:)

0 comments:

Post a Comment