Harussana adalah seorang budak kecil. Sejak kecil dia adalah seorang yang suka menyendiri. Hanya tinggal di rumah besar milik ayahnya dan jarang keluar dari rumah.
Setelah sekian lama hidup berseorangan, Harussana terasa kesunyian yang amat sangat. Asyik bercakap kepada bibik-bibiknya di rumah, menonton astro menggunakan televisyen LCD, bermain xbox, teringin juga mahu keluar ke dunia luar, bergaul dengan kanak-kanak yang sebaya dengan dirinya.
Suatu hari, dia meminta keizinan bapanya untuk keluar bermain di luar rumah. Ayahnya tidak ada halangan, cuma mengingatkan jangan terpengaruh dengan budak-budak jahat.
Malangnya, dia lalu di padang sekolah Bi End. Kanak-kanak di sini mempunyai rekod-rekod disiplin yang kurang baik. Budak di sana ada yang bermain gusti, main tikam, dan ada juga bermain baling batu sembunyi tangan.
Harussana cuba untuk menyertai kumpulan mereka. Namun, tiada seorang yang mengendahkannya. Setelah puas merayu-rayu, ketua budak di sekolah Bi En, Zembiri bertanya Harussana.
"Ko nak join group kami ye?"
"Tolonglah, kita boleh buat ape je korang mintak," balas Harussana. Membahasakan dirinya 'kita'.
"Kalau camtu, ko gi hujung sana, kat sana padang sekolah Pi Ar, ko ejek-ejek diorang sampai diorang menangis, lepas tu kita boleh main sama-sama. Kalau ada pa pa, lari gi sini balik, ok?"
"Ok, kita buat!"
Harussana terus berlari ke padang Pi Ar. Disana kanak-kanaknya bermain seperti apa yang biasanya dimain kanak-kanak ; main aci kejar duduk, polis sentry dan main pondok-pondok. Untuk menunaikan janjinya tadi, dia terus memekik-mekik mengejek budak Pi Ar, sejurus dia sampai di situ.
"Wek, wek, budak Pi Ar pondan!"
"Wek, wek, budak Pi Ar pengecut!"
"Wek, wek, budak sini macam bod**!"
Pada mulanya, kata-kata si Harussana ini tidak diendahkan oleh kanak-kanak disitu. Tapi, oleh kerana diejek tak berhenti-henti, akhirnya kanak-kanak di situ bergabung dan datang mengelilingi Harussana beramai-ramai. "Ko tak puas hati apasal?!" Jerit mereka.
Harussana dikejar oleh mereka sehingga sampai ke padang Bi En. Dia cuba meminta pertolongan bebudak di situ. Terus Zembiri dan kumpulannya berlari ke arahnya dan menjawab, "Weh, korang tak payahlah kejar dia. Dia sorang, korang ramai. Lantak la dia." Pada mulanya, kanak-kanak Pi Ar sudah mahu beredar dari situ.
Tetapi, dalam masa berlindung di belakang budak Bi En, Harussana masih mengejek dan menjelir lidah kepada budak Pi Ar.
Harussana telah lupa pada pesan ayahnya. Dia sudah tersalah pilih kawan.
PN BERGOLAK?
4 days ago
0 comments:
Post a Comment