Tinjauan selepas PRK Manek Urai


PRK Manek Urai telah berakhir. Keputusannya juga telah diketahui, Pas menang majoriti 64 undi mengalahkan calon BN-Umno, walaupun pada awalnya dijangkakan Pas akan mendapat majoriti yang besar seperti yang dikatakan oleh Pengarah Pilihan Raya Kelantan, Ustaz Fatah Haron.

Apa yang saya boleh katakan, kebanyakan orang Manek Urai terpengaruh dengan pembinaan jambatan yang dijanjikan oleh Yidin dua hari sebelum hari pembuangan undi. Manek Urai Baru dan Lama dimenangi BN. Memang pada hakikatnya jambatan yang ada sekarang sangatlah tidak selesa, hanya satu lorong untuk dua hala. Mungkin mereka sangat mengharapkan jambatan yang lebih lebar untuk kegunaan penduduk Manek Urai.

Pas juga agak overconfident. Masing-masing merasakan Manek Urai ini ibarat angin lalu sahaja, akan dimenangi dengan mudah. Tidak cukup dengan itu, besar kepala tentang kerajaan perpaduan dalam gelap(sudah ditutup isu) menyebabkan orang ramai berbekas hati dengan beberapa pemimpin Pas.

Aura Najib tidak sekuat Aura Pak Lah. Ketika PRU11 yang lalu, Manek Urai jatuh ke tangan BN, meskipun majoriti yang diperolehi hanya sekadar 53 undi sahaja. Tapi yang pentingnya BN, di bawah pemerintahan PM yang baru ketika itu, Pak Lah berjaya di Manek Urai, bahkan hampir menawan Kelantan.

Najib yang baru sahaja 100 hari memerintah, penuh dengan cerita manis dan janji 1 Malaysia, masih gagal untuk merampas Manek Urai. PRK adalah medan terbaik untuk melunaskan hasrat Umno, kerana seluruh jentera, wang dan tenaga ditumpukan terhadap satu DUN. Semua menteri, timbalan, ahli parlimen dan tauke besar boleh membantu Umno, waima terpaksa menggunakan 1 billion ringgit untuk tujuan itu.

Tapi Najib masih gagal.

Maka, ini mungkin satu blessing in disguise buat Pas dan PR. Bermuhasabahlah diri. Kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi. Lebihkan membuat kerja dan kurangkan bercakap. Orang ramai melihat tingkah laku anda di media massa, yang kadangkalanya mengalahkan perangai budak-budak.

Akhirnya, Alhamdulillah dan tahniah kerana masih dapat mempertahankan Manek Urai walaupun diserang bertubi-tubi oleh BN Umno. Ini adalah kejayaan yang manis. Menang dengan majoriti yang kecil adalah perkara biasa di PRK Kelantan. Pas gagal di PRK Pengkalan Pasir, tapi menang di Manek Urai, dimana PM Malaysia baru sahaja naik takhta, pada masa kedua-dua PRK ini berlangsung.

Teruskan mengorak langkah. Allah bersama orang yang sabar.

0 comments:

Post a Comment